31 December 2017

PENUTUP TIRAI 2017

salam sejahtera....
hari terakhir untuk tahun 2017....moga kita menjenguk ke 2018 dengan kenangan manis. yang pedih, duka tu biarlah tertinggal di 2017.

saya mengakhiri hari bekerja 2017 dengan kemengantukan yang teramat sepanjang sesi pagi tadi. alhamdulillah untuk petang ni mata dah makin cerah.

kisahnya, petang semalam sebaik memasuki Pulau Pinang (saja-saja meronda kata husband), mak mertua call bagitau sepupunya di Perak meninggal dunia. nak pergi ziarahlah. oleh kerana hari ni saya bekerja maka kami buat keputusan untuk pergi dan balik malam tadi juga. 
dari Pulau Pinang nak bergerak balik ambil masa juga. singgah makan dan solat magrib di perjalanan akhirnya tiba di rumah sekitar jam 9 malam.

diringkaskan cerita, kami bergerak ke Ipoh sekitar jam 11 malam. tiba di sana pukul 1 lebih. mengantuk tak sangga dah...maka saya ambil kesempatan baring dan terlelap sekejap di sana. kebetulan rumah masih sunyi (tengah malam katakan).....belum ada kunjungan kecuali adik beradik arwah.

lebih kurang jam 3.30 pagi bergerak balik ke Kedah. memang lelaplah dalam perjalanan sebab duduk kerusi belakang temankan anak dara kecil. angin apa ntah nak dekat-dekat dengan umie dia ni.tapi tu laa, tidur dalam kereta tak sama dengan dalam bilik. sekejap2 terjaga. 

sampai dengan selamat di rumah jam 6 lebih....alhamdulillah.sempatlah baring sekejap lepas solat.
bila masuk kerja memang macam orang mabuk. mengantuk dan lenguh-lenguh badan.
sejak umur bertambah banyak ni selalu juga lenguh badan kalau lama sangat dalam kereta. dulu2 masa rajin berkonvoi amal, ok ja. walaupun masa tu posisi duduk dalam kereta memang tak normal sebab kena rakam gambar & video sepanjang jalan. sekarang ni sorry la...tak mau buat dah macam tu. kesian kat badan.

hari ni...selesai buat pendaftaran sekolah untuk anak dara kecil. selesaikan yuran dan bayaran untuk buku serta kelengkapan sekolah. untuk anak-anak istimewa ni tak banyak yang dibelanjakan. keperluan sekolah mereka tak seperti anak-anak tipikal. 

esok bermulalah sesi membangunkan anak dara kecil ni di awal pagi. moga tahun ini dia lebih mudah bangun pagi...tak ada lakonan sakit sana sini lagi hendaknya.
kalau ikutkan umur, tahun 2018 dia berada di usia anak-anak UPSR....

moga dengan peningkatan usia, anak dara kecil ini semakin bijak menjalani kehidupan seharian dan sentiasa dalam perlindungan Allah swt.

google pic


**memasuki 2018 ada beberapa agenda baru dalam ekonomi rumahtangga kami....mohon pertolongan sahabat untuk mendoakan ianya menjadi kenyataan dan berjalan dengan sempurna.


**Al Fatihah buat arwah yang meninggal petang semalam. moga Allah mengampuni semua salah silapnya dan menerima semua malan baiknya serta ditempatkan bersama hamba2Nya yang beriman.



27 December 2017

KEK PISANG MAIN TARAM JERRR....

salam sejahtera...

beberapa hari lepas, kebetulan cuti, saja-saja ringan tulang masuk dapur waktu petang. saya jarang ke dapur di petang hari sebab bahang panas. memasak biasanya di awal pagi dan selepas magrib.

petang tu kononnya nak buat cekodok pisang. ada beberapa biji pisang emas saiz kecil yang tersimpan dalam peti sejuk (nak elakkan berulat). dah lenyek-lenyek pisang dalam mangkuk, tiba-tiba tahap kerajinan menurun...hihi...(susah sungguh nak masak)...terlintas di hati, baik buat kek pisang ja. campur-campur masuk dalam oven boleh tinggalkan kat situ ja. takyah susah2 berdiri depan api.

tak pernah buat kek pisang sebenarnya. selama ni hanya buat kek coklat moist. tu pun dah lama tak buat. search juga resepi nak tahu guna telur atau tak. dapat resepi yg guna telur. so buat ja la.

oleh kerana adunan tu sikit, maka tak jadi letak dalam bekas kek. masukkan dalam bekas muffin ja. dapat cun-cun 6 biji.
alhamdulillah, indah kejadiannya.
kebetulan encik suami baru sampai dari tanah seberang, terus mengadap sama-sama. sedap katanya....suka la wife dia ni sebab selera dia susah sikit. bukan juga jenis yang nak bodek2 kata sedap kalau benda tu tak kena dengan tekaknya. boleh la buat lagi lepas ni.

biar takdak rupa, asalkan rasanya cun


resepi yang saya guna.

5 biji pisang emas saiz kecil....lenyekkan.
1 biji telur ayam saiz C
suku cawan gula perang
suku cawan gula halus (gula putih yang dah blend halus)
satu cawan tepung gandum
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
1/2 sudu kecil baking powder
1 sudu besar planta pelangi

pukul semua bahan dengan whisk sampai sebati kemudian masukkan pisang yang dah dilenyek.
gaulkan dengan menggunakan whisk tu juga....
sendukkan ke dalam acuan yang dah disapu planta supaya tak melekat.

saya bakar dalam oven guna suhu 170 C bakar selama 20 minit...





26 December 2017

AWAS RENJATAN ELEKTRIK DI TROLI PASARAYA

salam sejahtera...

pagi ni terbaca luahan pengguna dalam group facebook penduduk tentang renjatan elektrik semasa menggunakan troli di pasaraya.
katanya, dia terasa renjatan elektrik yang menyakitkan semasa menyorong troli barangan di salah sebuah pasaraya di utara ni. bila baca di bahagian komen, rupanya ramai juga penguna yang pernah alami masalah yang sama.
ada yang sehingga anak menangis dan tak mahu duduk di dalam troli tersebut.

setakat hari ini, saya/keluarga belum pernah alami masalah ini. mungkin sebab pasaraya yg disebutkan tu jarang-jarang pergi. biasanya bila shopping kat pasaraya, Nabila akan diletakkan dalam troli supaya senang nak kawal. alhamdulillah tak pernah berlaku renjatan...kesian dia kalau terkena.

selepas ini kena lebih berhati-hati menggunakan troli. kena pilih yang ada rantai besi di bawahnya dan rantai itu perlu menyentuh permukaan lantai pasaraya untuk mengalirkan  cas elektrik yang terhasil akibat sentuhan antara besi tayar troli dan permukaan lantai.

google pic

yang ada anak kecil, sila lebih berhati-hati. andai anak menangis jangan dipaksa dia berada di dalam troli tersebut. mungkin dia kesakitan.

kalau kerap sangat berlaku, sebaiknya kita maklumkan kepada pihak pengurusan pasaray untuk tindakan selanjutnya agar tidak mengancam nyawa pelanggan dan pekerja.





24 December 2017

JUMANJI KEMBALI

salam sejahtera....
menghampiri penghujung cuti sekolah.....minggu terakhir dah ni.

lama menanti tayangan yang sesuai untuk kanak-kanak akhirnya malam tadi dapat bawa Nabila menonton sekali lagi. menjelajah pengembaraan dalam Jumanji (welcome to the jungle).
bukan Nabila ja suka....umie, abah & kakak dia pun enjoy juga....cerita yang tak payah nak fikir banyak-banyak. layan dan habiskan masa seketika di situ.


penghayatan

kisah tentang 4 orang pelajar sekolah yang mencuba permainan Jumanji ketika berada di sesi penggantungan kelas kerana masalah disiplin. 
mereka dibawa ke dunia lain dengan perwatakan baru berdasarkan watak avatar yg dipilih dalam permainan tersebut. menggalas tugas untuk mengembalikan kedamaian di wilayah Jumanji yang telah dikuasai oleh lelaki yang tamak. dengan kelebihan-kelebihan setiap avatar yang dijelmakan dalam diri mereka, mereka berjaya menjalankan tugasan tersebut. menghadkan setiap individu dengan hanya 3 nyawa menjadikan mereka lebih teliti bertindak. setiap watak yang mati akan dihidupkan semula dalam permainan tersebut tetapi jika mati kali ke 3, watak itu akan mati di dalam permainan dan tidak akan kembali ke kehidupan asal.



ironinya, kita sentiasa mengambil mudah dengan peluang nafas/kehidupan yang dikurniakan kepada kita sehingga kita lalai dalam menilai tindak tanduk seharian. 
bak kata watak utamanya yang enggan meneruskan tugasan pada satu ketika....
"ketika saya ada 2 nyawa, saya berani mengambil risiko kerana saya tahu ada lagi satu nyawa lebihan. tapi kini bila tinggal hanya satu nyawa, saya tidak mahu mengambil risiko"
tapi jawab kawannya...
"tetapi dalam kehidupan sebenar (di luar permainan Jumanji), kita hanya ada satu nyawa..." 

mati dan hidup semula...
(google pic)

keseluruhannya, memang sesuai untuk seisi keluarga. cerita yang straight forward, penuh aksi, kelakar dan kadang-kadang suspen. cuma ada dua scene yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak....lembaga penapisan terlepas pandang agaknya.
sinematografi....untuk cerita-cerita macam ni sememangnya disajikan dengan pemandangan yang indah. sejuk mata memandang.


saya tak pandai nak rate movie tapi saya suka cerita ini dan rasa berbaloi dengan masa & wang yang dileburkan di situ.

untuk anda yang gemarkan cerita bergenre pengembaraan, ini adalah untuk anda seisi keluarga.

4 watak bersama 'the missing piece'
(google pic)

selamat menonton.





19 December 2017

KES CIKGU AZIZAN SELESAI

alhamdulillah...
kes cikgu Azizan selesai hari ini tanpa perbicaraan di mahkamah...
moga semua mengambil iktibar dari kejadian ini, baik guru, ibubapa mahupun pelajar sendiri.






18 December 2017

ANTARA GURU DAN IBUBAPA...

salam sejahtera....

esok 19.12.17...
hari perbicaraan kes seorang guru menampar muridnya yang berulangkali melakukan kesilapan disiplin di sekolah. Cikgu Azizan bin Manap bakal mempamerkan atau membuka lembaran baru tentang isu antara hak ibubapa dan hak guru dalam membentuk disiplin pelajar-pelajar di sekolah masa kini.

kita semua sedar terlalu banyak masalah sosial di kalangan pelajar sekolah sekarang ini. bagaimana sikap ibubapa dalam melepaskan tanggungjawab mendidik sahsiah anak-anak kepada guru dan bagaimana sikap ibubapa yang mengawal kebebasan guru untuk bertindak terhadap anak didik mereka. semuanya berkemungkinan dibangkitkan dalam kes terbaru ini.

moga kejadian ini menjadi titik mula untuk kita kembali menghormati dunia pendidik yang bukan sahaja bertanggungjawab mengajar bidang akademik tetapi juga sahsiah dan peribadi anak-anak kita.

usah kita sebagai ibubapa terlalu menyebelahi dan memanjakan anak-anak kerana bimbang kelak kita yang menyesal. usah kita terlalu berbangga dengan taraf sosial kita sehingga menidakkan kepentingan guru dalam dunia pembesaran anak-anak kita.
jangan sampai satu ketika kerana ghairahnya ibubapa menyebelahi anak-anak, guru menjadikan kerjaya mereka hanya sebagai pengajar akademik semata-mata. kita ibubapa sesungguhnya tidak mampu membesarkan anak-anak sendirian dengan sempurna tanpa bantuan guru. berapa jam masa yang kita ada untuk mereka setiap hari? berapa jam juga pada setiap hari anak-anak diam di rumah selepas habis waktu persekolahan? 


bersama-samalah kita sebagai golongan dewasa, membantu dalam pembentukan jiwa anak-anak kita agar kelak mereka menjadi insan yang mulia.

untuk cikgu Azizan, berdiri kerana benar....moga kebenaran menyebelahi pihak yang sepatutnya.
untuk pelajar berkenaan, sedarlah bahawa masih ramai yang sayangkan awak.....berubahlah menjadi yang lebih baik. saya yakin satu hari nanti bila dia telah dewasa, cikgu inilah yang akan paling kuat diingatannya.
kepada ibubapa pelajar, andai ada kesilapan di pihak guru, bermaafanlah kerana tujuan guru dan ibubapa sma sahaja...mahu yang terbaik untuk anak.


kita sebagai pemerhati.....ambil yang baik sebagai teladan.




17 December 2017

KE HTF UNTUK KALI KE DUA

salam sejahtera...
satu lagi hujung minggu berlalu pergi...

kisah kami pada hujung minggu baru ni?
tak ada apa sangat pun sebab suami ke KL atas urusan peribadi. Sabtu pagi dia sampai ke rumah semula. plannya nak masak sebelum dia sampai rumah, baru ja selesai shopping kat pasar tani dia call ajak sarapan kat luar. rupanya dah nak sampai rumah pun.

maka bila dah keluar tu, mula la beratur-atur urusan luar rumah. niat memasak tinggal niat saja. semua belian masuk peti ais dulu.

jam 3.30 petang bergerak ke Kangar melawat suami kepada ibu mertua tiri saya (mak tiri suami) yang masih dirawat di ICU HTF. suami dah terkebil-kebil mengantuk. dia start drive dari KL sekitar jam 4 pagi lagi. maka saya take over pemanduan...risau sebab dia boleh ja terlelap masa memandu.....satgi semua pakat-pakat berehat kat hospital plk. bila saya drive, lambat la sikit nak sampai....pemandu berhemah katakan..kenderaan pun banyak. lepas singgah solat di Changlon barulah husband drive semula. sampai kat HTF sekitar 6.45 petang. ada 15 minit untuk melawat. cukuplah tu sebab melawat pesakit ICU mana boleh nak sembang/duduk lama-lama.

alhamdulillah, pakcik nampak makin segar. dah dihentikan ubat tidurnya. cuma dipasangkan tracheostomy maka tak bolehlah dia bersembang. jangkitan pada dadanya terkawal. kata makcik, dressing di bilik pembedahan dibuat selang sehari. dressing kena buat di bilik pembedahan sebab kawasan yg terlibat agak luas dan juga untuk pastikan steriliti terkawal sempurna.

apa sakitnya?.....bermula dengan bisul di ketiak, kemudian melarat hingga ke bahagian tisu yg lebih dalam melibatkan dada kanan di depan dan belakang.alhamdulillah tidak memasuki tisu paru-paru.

jadi isunya....jangan anggap bisul yang kecil itu suatu penyakit yg ringan dan mudah. ia boleh merebak dengan cepat dan mengancam nyawa pesakit apatah lagi bagi pengidap kencing manis yang tahap ketahanan badannya adalah lebih rendah.

moga pakcik terus kuat melawan jangkitannya dan dapat kembali pulih seperti sediakala.


agak senang melawat di ICU HTF ni....terletak di tingkat 1 bangunan (di tepi Jabatan Kecemasan). boleh bawa anak sampai ke situ tapi tak boleh masuklah....anak tunggu kat luar ja. nak masuk melawat cuma ambil pas pelawat, gantung kat leher dan boleh masuk tanpa masalah. sekali masuk hanya dua pelawat sahaja utk seorang pesakit (sama di mana2 hospital). tak risau nak bawa anak sebab tak perlu tinggal jauh kat parking.tapi, nasihat saya kepada yang ada anak-anak kecil, tak payah la bawa ke kawasan hospital. banyak cross infection yang boleh berlaku. tinggal sekejap dengan saudara mara di rumah atau dalam kereta. kita yg dewasa ni bergilir-gilirlah melawat pesakit. anak saya dah 11 tahun lebih, sebab tu saya bawa. 

selepas melawat pakcik, bawa adik ipar makan dan belikan makanan untuk makcik dulu kemudian baru kami bergerak balik....tapi tak terus ke rumah.
menyinggah ke destinasi makan kegemaran suami. uptown tepi stadium Alor Setar....cari nasi lemak. dan saya dapat ketagihan baru di sini ie teh tarik ais....memang power tehnya (mujoq depa dok di aloq setaq takleh nak pi selalu)...bahaya kalau diamalkan selalu. sekali sekala nak layan selera bagi chance la kannn....berbaris jugak nak beli teh tarik ni pun.

gerai nasi lemak...
beroperasi setiap hari dari jam 6 ptg hingga 12.30 malam
cuti tak tetap....aka ikut keperluan empunya gerai

simple tapi sedap...boleh ketagih jugak ni

the night view


macam biasa......gangguan siaran


selesai jamu selera baru balik rumah...tup tap tup tap dekat pk 12 juga baru sampai. masalahnya tak boleh nak tidur plk...tak mengantuk. encik suami hanyut dibuai mimpi entah ke mana....cik akak ni pk 3.30 pagi dok terkebil2 lagi...pk berapa ntah terlelap. penangan teh, kopi dan seumpamanya kot. hari ni kerja dalam mengantuk.....mujoq takdak bos...sendiri bos, sendiri kuli.





14 December 2017

KASUT SEKOLAH PALLAS

alhamdulillah....settle dah beli kasut sekolah nabila.
beli kat Tesco ja. Pallas Jazz. kebetulan ada diskaun untuk pemegang kad ahli pada 12/12/17....dapatla jimat dekat rm4 kot (lupa dah).

nak cari kasut untuk anak istimewa macam nabila ni agak susah sebab kakinya 'kembang' di bahagian depan (jari-jari kaki terpisah jauh: salah satu kriteria anak-anak Down's). jadi kasutnya tak boleh yang terlalu menguncup di bahagian depan. Ia akan buatkan mereka tak selesa sebab jari-jari kaki tersepit. bahagian depan juga tak boleh yg keras (ada rubber). juga boleh sakitkan kaki mereka.

masa kecil taklah susah sangat nak cari. bila dah makin besar, design kasut mengarah kepada anak-anak remaja dengan bahagian depan yang lebih meruncing. maka kejayaan menemui sepasang kasut yang selesa dan kena dengan saiznya adalah sesuatu yg perlu diraikan....hihi.

biasanya kasut nabila tahan setahun sebab di dalam kelas mereka tak pakai kasut. kadar penggunaan tu taklah sebanyak murid-murid lain. kasut hitam pula tu, taklah nak kena basuh kerap sangat. seminggu sekali pun dah memadai.





11 December 2017

ANAK SEKOLAH

salam sejahtera...
mencapai pertengahan Disember.
cuti sekolah ada 2 minggu lebih sikit ja lagi....my anakanda is soooo happily enjoying her schoolbreak with her abah.....morning ride.....eat here & there....night 'ronda'....heaven....
nak start sekolah nanti jenuh laaaa....
tapi rasanya dia dah mula teringat sekolah...tiap2 hari dok sebut nama kawan2.

dah mula shopping barang sekolah anak?
mesti sibuk kan?...sale tak banyak tahun ni maka berhati-hatilah berbelanja. terpulanglah dengan poket masing-masing tapi yg pasti kalau anak baru nak masuk tahun satu & tingkatan satu memang besar juga belanjanya....serba baru.

Nabila?....beli sepasang baju kurung, tudung, stokin dan kasut ja dulu. baju kurung terpaksa beli baru sebab dah out of size. kasut pun dah lekang pelekatnya. tapi kasut tak cari lagi. weekend ni pula. yang dah dibeli semua tu tak sampai rm100 pun...beli kat kedai biasa ja....asalkan kain elok dan selesa di pakai.
malam tadi bawa baju ke rumah mak toknya untuk alter...macam selalu, kena pendekkan tangan baju dan labuh kain.
beg sekolah ok lagi cuma kena basuh....lasam dah rupa beg.


bagi yang kurang berkemampuan...moga Allah datangkan rezeki untuk mereka demi memenuhi keperluan persekolahan anak-anak. 
teringat zaman saya sekolah dulu. permulaan tahun saja beli yang baru sebab berubah saiz. pakai sekadar yang ada. yang penting boleh ke sekolah dan boleh makan secukupnya satu keluarga.


bagi anda yang ada lebihan....pandang2lah anak2 yang memerlukan. sedikit sumbangan kita mampu mengukir senyum bermakna di wajah mereka.



28 November 2017

CAMERON HIGHLAND BUAT KALI PERTAMA

salam sejahtera...
umur dah dekat 50 tahun tapi tak pernah jejak Cameron Highland....okay....Cameron jauh.
Gunung Jerai pun tak pernah sampai lagi....syahdu kan?
dok ajak husband pi Gunung Jerai...dia tak mau. dia kata tak syoq aih...hmmm...
yg Cameron dok sebut juga...dia kata bukan ada apa sgt pun, nak tengok teh buleh laaa....hmmm....
kita diam sudahlaaa....
tapi cuba ajak pi siam...dan dan tu jg nak pi....


saja nak intro....hihi
weekend yang ada final bola Kedah lawan JDT haritu, husband ajak ikut dia pi Shah Alam.....ajak satu family. dia nak masuk stadium dgn anak bujang dia, yg perempuan duduk hotel. siap booking hotel awal2 lagi. beria2 ajak keluar dari rumah sebelum subuh hari Jumaat tu. pelik jugakla, nak pi Shah Alam ja, keluar sebelum subuh sampai sebelum zohor nak pi duduk kat mana? bukan boleh check in lagi. dia nak beli Roti John kat pasar malam pun belah petang. tapi malas nak tanya, ikut saja laa...


nak dijadikan cerita, kereta plk bermasalah. motor kipasnya rosak. ajak tukar dulu pagi Jumaat lepas tu keluar....tak mau...katanya "kalau keluar lewat tak ada makna laa"...hmmm....okay laaa.....kita ikut saja. awak yg nak drive nanti.


dalam perjalanan masa berhenti kat RnR temperature naik...hah sudah....
kata dia..."satgi kita singgah Ipoh, tukar motor kipas ni"....
tapi bila sampai tol Ipoh dia jalan terus ja...
tiba Simpang Pulai baru dia exit..."ooo...nak buat kat Simpang Pulai kot"...cakap dalam hai saja la.
tapi dia terus ja drive....jalan makin masuk ke area kampung dan kemudian berbukit..

dia tanya "...tau dak nak pi mana ni?"
saya : "ntah"
dia : "tengok tu".....tunjuk signboard...
saya : "oooo.....surprise la niiii"
menghala ke Cameron Highland rupanya...
patutla nak keluar awal pagi.
kata anak.."patutla abah suruh pakai baju tangan panjang....adik pelik juga sebab adik memang dok pakai yg tangan panjang dah"....
tersingkaplah segala kelakuan pelik dia...

dia memang suka buat macam ni....berahsia selagi boleh. sungguh2 nak surprisekan orang.....tapi memang bestlah..
terimakasih suami....


naik atas tu...jalan tak sibuk sebab awal lagi...
sejuk mencengkam tambah2 dengan cuaca mendung berangin. singgah sarapan...semua order air suam. meniaga ais memang tak laku la kat puncak tu.

lepas sarapan, terus hala turun. masa tu jalan hala menai dah jem teruk.
singgah kat ladang strawberi...ambil gambar...beli buah sikit.
kemudian singgah kat ladang teh...suami nak beli teh Boh stevia utk mak dia.
kat sini la sekali lagi temperature kereta naik sebab jalan perlahan2....kipas tak berpusing. suspen betoi...sampai juga ke parking lot. lepak2 ambik gambar. daki bukit ke restoran kat atas tu dan shopping teh Boh.
kesian nabila....mengah mendaki.

menghala balik lagi la suspen sebab husband drive laju nak bagi kipas berpusing....ketaq oiii....sebelah cerun. jalan dah la kecik. berhenti 2 kali. dia punya timing agak2 tak ada orang baru drive. alhamdulillah selamat sampai ke jalan besar dan boleh memecut semula.
dapatla tukar motor kipas tu kat pekan Simpang Pulai....memang kena tukar juga. nak masuk Shah Alam lagi la banyak jem.tak yakin langsung nak duduk dalam kereta yg macam tu.




selamat sampai Shah Alam sebelum magrib. lajak ke pasar malam dulu cari Roti John Putra....kegilaan husband ni. beli 4 yg biasa, 1 tak pedas utk Nabila. lepas tu baru check in hotel.

malam tak ada apa2 aktiviti....dia lepak jumpa kawan, kami lepak kat bilik.


esoknya check out dari Alam Avenue pergi buat kerja husband sikit kemudian pass tiket bola kepada kawannya then check in plk kat Acapella....sama2 dengan player Kedah & JDT. saja husband ambik kat sini sebab dia boleh jalan kaki ja ke stadium.
petang temankan nabila main air kat kolam sekejap...abah dgn abangnya dah masuk stadium.

bola?....tak best plk game malam tu. tengok first half saja lepas tu lepak2 buat hal lain (kat bilik ja la)....husband pun keluar dari stadium lepas first half...balik makan sama-sama kat bilik... lagi syoq.

Ahad pagi....sarapan, jumpa kawan dia sembang2 kemudian check out. siap cari lontong Klang plk si husband akak ni...
pagi tu hujan mula turun kat Shah Alam...di utara dah kelam kabut dengan banjir yg datang secara tiba2 di Kuala Muda dan Pulau Pinang.
ajak husband balik cepat sebab nak elakkan perjalanan waktu malam. takut juga drive malam2 dengan hujan yg tak menentu. walaupun Ahad banjir mula surut, takut juga....segalanya berkemungkinan.

alhamdulillah perjalanan balik lancar tanpa menepuhi hujan lebat. selamat sampai rumah dan keadaan rumah pun ok ja....(risau kot2 angin kuat berterbangan plk bumbungnya).



berakhir percutian surprise yang mendebarkan.
walaupun Kedah kalah bola tapi kita enjoy ja...(dalam hati frust jugakla). 






14 November 2017

7 TAHUN BERLALU....

salam sejahtera...

14.11.17...
mengikut tahun masihi....hari ini genap 7 tahun arwah mak meninggalkan kami.meninggalkan dunia yg penuh warna ini sebaik melepasi masuknya waktu solat subuh setelah 2 minggu menyepi.

berselang 2 minggu dengan kematian bapa....
disulami dengan kejadian banjir besar di utara semenanjung.

AlFatihah buat arwah mak & bapa...
moga Allah mengampuni semua dosa kalian....
moga Allah menerima semua amalan baik kalian...
moga dalam ilmu/didikan yg kalian berikan kepada kami serta amal bakti yg kami lakukan, mengalir juga pahalanya untuk kalian di sana...

merindui kalian selamanya...




31 October 2017

BAJU T HARI SUKAN NEGARA.....PENAT DI BULAN SEPULUH

salam sejahtera...

31 hb dah....hari terakhir bulan sepuluh tahun 2017...
bulan sepuluh....bulan yg sangat penat terutama dipertengahan hingga penghujungnya....penat badan...penat poket...

bermula dengan Hari Sukan Negara pada 14hb 10.....bukan terlibat pun dengan hari sukan tu. kita bukan di jabatan kerajaan. cuma my man (suami) yang tiba-tiba terekenan dengan satu design baju T untuk hari sukan negara (HSN). dia ni memang pantang ada event apa2, mesti nak cari bajunya. bila dah terbekenan, nak order. si penjual kata order lebih dapat harga yang lagi rendah. maka my man yg ada banyak geng ni pun buka order kat kawan2 dia sebab nak dapatkan special price. wife dia pun tumpang sekaki...open order kat kawan2.

tanpa disangka ramai plk yang nak. dalam ramai-ramai tu ada yang dari jabatan kerajaan dan memang nak guna pada 14/10/17. maka kalutlah buat order dengan jaminan akan dapat sebelum hari event.
tarikh tutup order ialah 6/10...dijangka sampai ke tangan kami menjelang Khamis maka hari Jumaat bolehlah dihantar kepada kawan2 dan yang nak guna hari Sabtu tu pun bolehlah guna dengan senang hati.



tapi kita hanya merancang....ditakdirkan order yang masuk kepada sipenjual aka pembuatnya juga menderu2. order my man masuk batch yang ke 3 printing (sublimation)....berdebar2 rasa hati. rasa macam tak sempat dah. dia nak buat lepas tu nak pos kepada kami lagi....ambik masa tu. hari Rabu kot, my man cakap..."rasanya kita kena pi NS ni".....what?....jauh mak oii..."tunggu pos memang tak dan ni"...kata dia.....wife dia speechless...

Khamis...katanya, penjual kata baju boleh siap dan akan kirim dengan bas pagi Jumaat maka sempatlah sampai petangnya. malam boleh distribute....
Pagi Jumaat...msg sekitar jam 10 pagi kot..."syg...hu hu hu"....wife dia paham dah....
"dah tu?"...
"balik awai....satgi kita pi ambik baju"....
tak boleh kata apa dah.....demi kawan2 yang nak guna baju HSN esoknya maka tengahari Jumaat tu kami bergerak ke selatan selepas settlekan semua yang perlu di settlekan.


kebetulan, kereta tak berapa sihat sebenarnya. bering dah perlu ditukar. tapi dia minta pendapat mekanik, kata mekanik boleh guna lagi utk 4, 5 ribu km....maka dengan penuh keyakinan dan tawakal....guna saja la.

bergeraklah kami 4 beranak ke selatan tanah air....sampai Seremban sekitar jam 6 petang.
singgah solat dan makan di RnR Seremban....my man call pengeluar baju tu....tak siap sepenuhnya. ada satu warna belum settle....hmmm...pukul berapa nak balik gamaknya ni...?

pukul 8 lebih kami sampai ke kedai yang buat baju tu...sembang dgn tuan kedai, dengan adiknya juga....actually depa pun serba salah sebab kami turun dari Kedah semata-mata nak ambil baju tu. benda nak jadi....nak marah depa pun tak ada maknanya. depa pun tak sangka order masuk dgn banyak dan dalam masa yg sama ada masalah dengan mesin sublimation tu. production jadi terganggu.
tak apalah....kami tunggu saja. ada satu couple lagi datang tunggu baju (dari JB rasanya)....sama macam kami. customer nak pakai esoknya. maka kena pastikan ada baju juga.

dah siap baju, cek ada yg tak elok, tunggu repair. dalam dok tunggu tu ada lagi order masuk...kutip saja la.

settle baju pi cari nasi dulu...kelaparan dah sehari tak jumpa nasi. pukul 1 lebih baru bergerak dari Seremban dengan target terus ke Jitra hantar kat kawan yg nak guna jam 7.45 pagi.....memang tak yakin dah..siap pesan kat kawan, standby baju lain.


bergeraklah kami ke utara dengan lapang dada sebab baju dah dapat, tapi mata pula mengantuk. dahlah mengantuk, serempak pula dgn mat2 rempit di lebuhraya, risau sungguh takut terlanggar. mujurlah depa keluar cepat dari lebuhraya.
tengahmalam, jalan tak sibuk sangat cuma ada banyak lori. my man drive dengan mata terkebil2. wife dia dah risau, ajak berhenti lelap dulu kat mana2 RnR terdekat. last2 akur juga dia. bukan dia ja yg lelap, wife dia pun lelap juga. yg dua lagi tu memang hanyut dibuai mimpi. 
terpaksa set alarm kat phone takut terlelap sampai pagi. dah pernah jadi. konon nak lelap sat ja tapi sedar2 2 jam berlalu...hihi.
wife dia drive sekejap dari mana ntah sampai ke Jelapang....then pass balik kat dia sebab jalan selepas tu berbukit dan berliku.

dalam hujan sekejap lebat sekejap renyai, sekejap tak hujan, kami berhenti tidur 2 kali. tiba di exit Kemunting ngam2 subuh...hantar baju kat kawan dan terus solat.
janji dgn kawan ni jam 3 pagi sebenarnya...mujur dia jenis berjaga malam....abam polis katakan...nak pakai untuk majlis di Bota katanya...

kemudian keluar di Bertam hantar kepada sorang lagi customer dan terus pecut ke Jitra..
tiba di Jitra sekitar 8 pagi....dapatlah juga kawanku pakai untuk majlis HSN dia pagi tu.

tolong deliver bagi pihak penjual sebab kebetulan sehala....
tak sempat nak pos dah.

kawan2 my man yg lain kata takpa la...depa lambat sikit pun ok....lapang dada sat. boleh berhenti sarapan dulu.
lepas sarapan sambung semula delivery.

akhirnya dalam terkebil-kebil tahan mengantuk dan letih, selamat sampai ke rumah sekitar jam 1 tengahari.perjalanan terakhir tu wifenya terpaksa drive sebab the man drive dah melelong-lelong....

syukur alhamdulillah....kereta selamat, baju pun selamat...
sejarah tercipta...ke NS balik hari (sebelum ni sampai KL saja)...tak mandi lebih 24 jam...huhu

tanya my man...mana keuntungan buat baju HSN?....
"untung dia?....ni...jalan2 sampai negeri sembilan....hehe"

that's him....jarang sangat mengeluh...terima semua seadanya asalkan kawan2 seronok/senang hati.

tapi selepas tu memang kereta balun habis.....kering poket.
tukar bering, baiki absorber, baiki aircond belakang, bayar insurans roadtax.....semua bulan 10....
tu cermin depan retak tak buat lagi....fuhhh....