14 April 2017

PULAU PERHENTIAN....HARI KE DUA

salam sejahtera...

hari ke 2 percutian ke Pulau Perhentian Terengganu.

pagi-pagi lagi akak ni dah bangun sebab malamnya tidur sampai tak sedar diri.baju-baju nak di check semula takut ada yang tertinggal. dari rumah memang dah asingkan beg untuk ke pulau. bawa yang perlu saja sebab nak melangkah turun naik bot bukannya kerja mudah.masing-masing bawa satu beg kecuali Nabila yang share dengan ummienya.

settle kemas barang menjelang subuh...kemudian baru kejutkan semua yang lain.walaupun tidur sebilik, depa semua ni tak akan terjaga selagi tak kejut. ummie buatlah apa pun tak ada kesan (kecuali pasang lampu).

hari sebelumnya suami bagitau kena ada di jeti pukul 8 pagi.tapi pagi tu tengok dia relaks ja....ajak pusing-pusing cari kedai makan lepas serahkan kunci.tengah jalan baru dia cakap kena ada kat jeti pukul 9....adoi laaa....penat makcik bangun awai2....bila tanya "awat tak bagitau?"....jawabnya..."bukan dah habaq ka?".....suami ooo suami.....

makanya lepas sarapan ambil semula kunci bilik...budak2 berdua yg besar tu lepak semula dalam bilik...mujur staf situ tak kisah.


pukul 9 lebih kami bergerak ke jeti.....tak sabar nak naik bot walau dalam hati ada debar. tak pernah lagi naik bot di sebelah pantai timur ni.....gerun juga mengenangkan lautnya yang terbuka luas berbanding di pantai barat yang agak terlindung dengan pulau-pulau sekitar.tengok pula bot-bot yang diguna tu semuanya comel-comel belaka. tapi yakinkan dalam hati....mereka adalah orang-orang yang arif dalam bidang mereka....Allah ada...keep berdoa....muka wajib nampak confident.

jeti agak sempit dengan laluan orang yang hendak keluar & masuk bercampur sekali....tapi masing-masing beretika sempurna...bertolak ansur.

the journey begins

nabila yang ceria sepanjang jalan

tiba masa dinanti....melangkah menaiki bot penumpang sederhana yang boleh memuatkan sekitar 16 penumpang.pakai jeket keselamatan dan.....zoommm....bot bergerak meluncur membelah ombak-ombak kecil. laju pula anak muda ni bawa botnya.

setengah jam perjalanan untuk sampai ke Pulau Perhentian Kecil....nabila riuh sangat. gelak, jerit, baca doa, tafakur, menyanyi...semua ada. teruja sungguh. kali pertama sebenarnya bawa dia naik bot macam ni.
kawan nabila Danish dah pening campur takut sebab bot laju.alhamdulillah, dia fight....tak muntah pun. sekejap dalam pelukan ibunya, kemudian dia boleh duduk semula di kerusi seperti awalnya.

tiba di jeti Pulau Perhentian Kecil, dada rasa lapang sangat.....syukur selamat semuanya. walau bergoyang dilambung alun, rasa tenang melihat ikan-ikan berenang dalam air yang jernih.....bersih sekali airnya berbanding di tanah besar. berpijak di lantai jeti, rasa terumbang ambing untuk seketika.....


berehat sekejap di cafe berhampiran sementara menunggu petugas menunjukkan bilik. kemudian kami dibawa ke kawasan chalet dan diberikan satu bilik untuk meletakkan beg buat sementara kerana bilik penginapan belum disiapkan (masih awal pagi).

sementara menantikan  bilik disiapkan, kami memulakan pakej perjalanan/percutian. kami dibawa menaiki bot ke Turtle Beach. di sini setiap orang diberikan peluang untuk belajar snorkeling sebab percutian di pulau ini adalah tentang snorkeling.
di Turtle Beach





yang pandai snorkeling & berenang tu memang beraktiviti sakan di pantai ni. air jernih dan pantai agak landai.nabila pun sakan bermain air macam orang pandai berenang. risau ummie dia bila tengok dia menghala ke tengah.
sedang belajar

lagi susah nak bernafas sebab saiz dewasa tapi dia happy jaaa..

ni pun gila main air juga..
Danish bangga sebab berjaya snorkeling tanpa diajar oleh sesiapa.
gigih dia usaha sendiri.

kami2 yang takut air ni pun enjoy juga....enjoy main air kat tempat cetek.


selesai sesi belajar snorkeling, kami di bawa ke Turtle Point, Coral Point dan Shark Point untuk melihat pemandangan di dalam air.
dalam ramai2 dari group kami ni, 3 orang ja yang berani terjun ke laut...yang lain berani jenguk saja....


penyu memunculkan diri....tokojut pokcik


mungkin simpati dengan kami yang terlebih berani ni, secara tiba-tiba seekor penyu memunculkan diri betul-betul bersebelahan dengan bot kami.....dapat juga tengok dengan jelas.kata pemandu bot, ia kejadian yang amat jarang berlaku....lucky us.

di Coral Point kami dapat melihat keindahan alam laut dari permukaannya....melihat ikan yang berwarna warni yang mengerumuni makanan yang ditaburkan.
ikan-ikan ni nampak sama dengan yang ditemui di Krabi Thailand. bukan main seronok lagi Nabila bagi ikan-ikan makan, sampai habis bekalan biskut yang disediakan oleh pemandu bot.

hajat hati nak terjun tapi ummie tak bagi....
macam laa dia pandai sangat



di Shark Point, air kelihatannya lebih dalam. ada juga ikan-ikan cantik yang menjengah.tak ada sesiapa dari kumpulan kami yang berani turun di sini. alhamdulillah shark pun tak menampakkan diri.


shark point....air lebih dalam dan beralun


selesai menjamu mata kami dibawa pulang ke pulau untuk check in.agak awal berbanding masa yang ditetapkan kerana tak ramai yang rajin nak snorkeling. pemandu bot tak berapa seronok sebab katanya rugi kami tak turun ke laut melihat pemandangan yang cantik....dia tak tahu kalau kami pakat turun nanti dia yang menangis....ramai yang perlu diselamatkan.....hihi...


kembali ke pulau dalam keadaan kelaparan dan keletihan. encik suami dah sebu perut masuk angin....muka pun dah tak ceria. alhamdulillah saya ada sediakan ubat angin.
manat....apaaqqq....

selepas lunch kami dibawa ke bilik.ada sedikit kekeliruan untuk bilik keluarga saya. suami booking bilik 5 katil tetapi diberikan bilik dua katil queen.agak mengambil masa menantikan masalah tersebut diselesaikan.
alhamdulillah semua selesai dengan sempurna.

masuk bilik mandi, solat dan kemudian turun semula ke jeti kerana aktiviti pusing pulau bersambung pada jam 3.30 petang.


light house....
ada ikan berwarna warni juga di sini

petang, kami dibawa ke rumah api dan Romantic Beach.tak tahulah kenapa pantai ini diberi nama sedemikian....pemandu bot pun tak pasti.
tapi pantainya cantik, landai,airnya jernih dan tidak berombak kuat. memang seronok bermain air di sini.
ada pantai barulah semua berani turun dari bot....
aktiviti snorkeling bersambung di sini. ada banyak gamat rupanya. kali pertama saya lihat gamat yang hidup. memang tak pegang laaa....geli.
pegang gitu ja laaa....


lihatlah kejernihan airnya.....


family.......tq encik suami....

abang bawa adik-adik meronda tengok kawasan

kali pertama juga bersnorkeling setelah dipaksa encik suami.dia tolong pegangkan tangan. kalau tak pegang memang tak adanya nak buat.
nabila pun diajar snorkeling juga semasa di turtle beach....tersedut habis air laut tapi dia tetap happy.

agak lama kami di Romantic Beach. sampai semua dah letih dan ajak pemandu bot balik. cuma nabila saja yang liat nak tinggalkan air laut.




kembali ke pulau dengan kulit muka terbakar...namun puas hati sebab suasana pantai dengan air yang bersih dan cantik.

malam, suami dan dua sahabat berjemaah di masjid berhampiran. selesai mereka solat, barulah sama-sama mencari makan. malam itu kami menjamu selera di gerai yang dibina di bangunan masjid....masakan Thai juga rupanya.
lepas makan terus balik bilik....tak ada nak merayau lagi  dah sebab keletihan.




##part 3 menyusul.....



02 April 2017

MENUJU KE PULAU PERHENTIAN... HARI PERTAMA

salam sejahtera....

catatan trip Pulau Perhentian hari pertama

sebenarnya trip Pulau Perhentian ini telah dirancang sejak tahun 2016...tapi taklah serius sangat perancangan tu.
Ia melibatkan 3 keluarga iaitu keluarga kami dan dua keluarga sahabat.Ada beberapa keluarga lagi yang diajak bersama namun tak dapat memenuhi undangan kerana terikat dengan komitmen lain. maklumlah cuti sekolah, masing-masing ada urusan yang perlu didahulukan.

sebelum memulakan percutian, seperti lazimnya encik suami akan menguruskan segala-gala yang berkaitan seperti tempat penginapan, pakej pulau dan jadual perjalanan.


kami bergerak dari rumah sekitar jam 3.30 pagi pada hari Rabu 22/3/2017. bergerak awal?....iya, seperti selalu. jika ingin ke pantai timur kami akan keluar awal pagi dengan jangkaan tiba di Kelantan sebelum tengahari.

bertemu dengan sebuah lagi keluarga di pertengahan jalan, kami meneruskan perjalanan meredah dingin awal pagi yang sunyi.

encik suami agak sibuk pada hari Selasa menguruskan tempahan baju LIMA'17 menyebabkan dia tidak sempat tidur sebelum memulakan perjalanan. saya hanya tidur sekitar 1 jam sahaja. maka pemanduan kali ini agak kurang ceria....suami dalam keadaan mengantuk.suspen juga sebenarnya bila dia asyik menguap.jalan berliku dan diseliputi kabus, cantik dan damai namun menggerunkan.



tiba di sebuah hentian rehat, suami dan temannya mengambil kesempatan menyegarkan badan (sekadar membasuh muka).


sebelum subuh kami tiba di Restoran Salim, Kari Kepala Ikan Gerik Perak. mengambil kesempatan ini, kami melelapkan mata buat seketika di dalam kereta. terjaga pada jam 6.30 pagi....menunaikan solat subuh dan bersarapan seketika. di sini, satu keluarga lagi bergabung melengkapkan jumlah peserta konvoi mini ini.


selesai semuanya, kami bergerak menuju negeri Cik Siti Wan Kembang...
perjalanan masih ditemani kabus dibeberapa tempat. diselang selikan dengan pancaran matahari pagi yang indah sekali.




tiba di puncak Titiwangsa sekitar jam 8.45 pagi, kami sekali lagi berhenti rehat.ini adalah hentian wajib setiap kali pergi dan balik dari Kelantan.sekadar ingin menikmati keindahan alam ciptaan Allah swt. gerai-gerai tidak beroperasi pada masa kami sampai di situ, jadi selepas bergambar kami meneruskan perjalanan. lokasi tujuan adalah Pekan Rantau Panjang.....misi mencari cendol.


sekitar jam 10.30 pagi kami tiba di pekan Rantau Panjang. bukan bertujuan membeli belah tetapi mencari cendol idaman hati. terletak di celah deretan kedai/bazar di bahagian hujung sekali, dapat jua kami temui....gerai Cendol Abe Li. dengan cuaca panas terik membahang, memang sesuai sangatlah memilih cendol untuk menjamu tekak.

 wajah-wajah kelaparan

ada cendol kosong,kelapa, jagung dan campuran. harga sekitar rm4 ke rm5 sahaja.
saya ambil yang campuran manakala yang berisi kelapa untuk nabila. mereka yang lain ambil cendol kosong.ada gerai makan juga di sebelahnya. maka yang kelaparan sempat juga menjamu selera.

cendol campuran

mee kuah seafood

pulut pelam (RM5 sahaja)


selesai mengisi perut kami bergerak menuju destinasi asal, Besut Terengganu. sebelum itu mencari stesen minyak Petron untuk memenuhkan semula tangki dan kemudiannya singgah di Kubang Kerian bertemu rakan encik suami untuk menghantar T Shirt LIMA'17 yang dipesan olehnya.



akhirnya selamat tiba di Besut Terengganu sebaik menjelang asar.suasana petang masih dengan panas yang membahang tetapi disapa angin laut yang bertiup kencang.




selesai urusan di bilik, masing-masing turun mengisi perut dan menghabiskan masa melihat keindahan sekitar jeti sambil menyedut bau air laut.masing-masing sebenarnya dah tak sabar nak ke pulau.



malamnya, saya terus terlena sebaik selesai solat jamak...rasanya baru jam 8 malam.plan nak berjalan di tebing muara hanya tinggal plan sahaja. encik suami turun dengan anak bujangnya, melepak berdua entah hingga pukul berapa....langsung saya tak sedar. memang qada lena sesungguhnya.


NOTE****
T'Lodge Hotel ini adalah hotel bajet yang agak selesa pada saya. memang puas hati. ada 2 katil queen, bilik mandi yang luas dan di sebelah hotel ini ada restoren yang sangat bersih dan selesa (pemilik yang sama rasanya). makanan pun banyak jenis dan menepati selera dengan harga yang berpatutan.
tak ada gambar dalam bilik sebab dah terlalu penat...tak terfikir nak ambil gambar macam kebiasaannya.